Assalamualaikum wbt.
16 Januari 2009 yang lepas, mak ngah ku Rahimah Bt. Baharom, telah kembali ke Rahmatullah.
Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepadanya dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan bersama orang-orang yang solehah.
Saya agak terkilan mendengar berita kematian almarhumah. Lebih terkilan lagi saya berada jauh di utara untuk menghadiri pengebumiannya di Selangor.
Arwah mak ngah ku, yang selesa dipanggil oleh saudara-saudaranya sebagai Ngah adalah seorang yang ceria dan peramah. Bagi saya dialah makcik yang paling rapat sejak saya kecil lagi. Selalunya setiap minggu jika ada kelapangan, arwah Ngah dan anaknya selalu berkunjung ke rumah kami. Memang amat susah untuk melupakan kehadirannya dalam diri kami.
Terlantas dihati ku, bagaimana pula jika emak atau ayah yang pergi ketika itu? Bagaimana pula jika aku yang pergi dahulu sebelum mereka? Sesungguhnya mati itu tidak mengenal usia.
Firman Allah, Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran: 185).
Sudahkah aku bersedia untuk meninggalkan dunia ini? Cukupkah amalanku semua ini? Cukupkah bekalan-bekalan yang dicari di dunia yang yakni hanya satu persinggahan? Layakkah aku ke syurgaNya dengan hanya membekalkan amalan-amalanku yang ada sekarang ini?
Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ . (متفق عليه)
“Sesungguhnyan kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Setelah genap empat puluh hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari ketiga, berubahlah menjadi segumpal daging. Kemudian Allah mengutus seorang malaikat untuk meniupkan roh, lalu malaikat itu diperintahkan untuk menuliskan empat perkara. Dikatakan kepadanya; Tulislah amalnya, rezekinya, ajalnya, dan (nasibnya) celaka atau bahagia.” (Muttafaq Alaih)
Semasa roh ditiupkan ke badan kita, 4 perkara telah pun ditetapkan oleh Allah untuk kita. Apabila diselami dengan lebih dalam tentang ajal maut kita, kita memang tidak tahu langsung bilakah Sakratul Maut akan datang mengunjungi kita. Esokkah? Minggu depankah? Tahun depankah? Atau hanya sebentar lagi? Ya Allah ampunkanlah segala dosa-dosa hambamu ini!
Memang benarlah akan pesanan
"Ingatilah mati",
"Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan"
"Sembahyanglah kamu dibelakang imam sebelum kamu disembahyangkan didepan imam."
Hayatilah dan ingatilah selalu akan pesanan-pesanan yang berupa seperti ini kerana pesanan tersebut dapat menghadirkan keinsafan pada diri, mentauhidkan diri, dan memotivasikan diri kita untuk meningkatkan amalan kepadaNya.
Ingatlah bahawa Hidayah itu perlu dicari, bukan ditunggu.
Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un.
We belong to Allah, and to Him we shall return.
No comments:
Post a Comment
Luahkan saja isi hatimu itu.