Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad.

Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad.
Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad.

Thursday, February 4, 2010

Rahsia Seorang Yang Berjaya


Pada 27 Januari bulan lepas, saya sempat meluangkan masa petang saya dengan menghadiri sebuah ceramah motivasi yang diadakan di IPT saya. Patutnya memang tak dijemput pun, kelas petang pun kena cancel time tu, jadi pergi je la. Lagipun kawan dah ajak.

Ceramah motivasi ini dibawakan oleh Encik Che Ahamad Bin Daud. Jujur saya katakan ceramah ini merupakan yang terbaik yang pernah saya hadiri. Segala isi-isi nya sarat dengan kesedaran, pembakar semangat dan membuka minda kami agar "think out of the box". Apa yang menarik, beliau juga seorang yang amat kelakar. Beliau merupakan seorang pakar dalam subjek biologi, jadi beliau menyaratkan semua rahsia kejayaannya dengan fakta-fakta sains.

Beliau merupakan seorang yang mendapat anugerah kaunselor, pelajar terbaik di IPTA (saya lupa di mana) dan mendapat 4 flat, 1st class honour pada umur 41 tahun. Jadi beliau menjadikan dirinya sendiri sebagai role model, ingin mencungkil rahsia-rahsia kejayaannya kepada anak-anak tempatan agar dapat berjaya sepertinya juga. Alhamdulillah saya sempat menulis nota ringkas dan penting tentang rahsia-rahsianya dan ingin saya kongsikan bersama saudara saudari sekalian.

Saya masih ingat lagi akan lawak pembukaannya :

"Haa ini profile saya, nama diberi Che Ahamad Bin Daud. Saya mempunyai 3 orang isteri."
"Kenape kamu semua gelak pulak? Betullaa.."
"Isteri pertame saya iswan, kedua istu, ketiga istri"

Beliau memulakan ceramah beliau dengan bertanya

HOW TO BE THE BEST?

Pertama, THINK OUT OF THE BOX.

Kedua, BELAJAR LEBIH DARI KEBIASAAN.

Kemudian beliau mengupas bagaimana hendak belajar lebih dari kebiasaan.

Rahsia-Rahsia Kejayaannya :

Belajar

Ya yang pertama belajar. Kalau tak belajar bagaimana nk berjaya ye tak? Tapi belajar bukan semberono je, ada taktik-taktiknya. Rahsianya adalah mendapatkan 5 jam sehari!

5 jam kat mane? 5 jam straight ke? Bukan, tetapi dapatkan 5 jam masa belajar luar daripada waktu kelas dan kuliah. Jika satu hari 5 jam, seminggu anda sudah boleh mendapatkan 35 jam masa belajar.

Apa yang patut dilakukan dalam masa 5 jam tu?
  1. Siapkan semua homework dan assignment. Jangan tangguh-tangguhkan lagi. Kalau tak nanti masa nak belajar tak senang, assignment tak siap, macam mana nak start belajar pula?
  2. Buat ulangkaji tentang apa yang dipelajari di dalam kelas, dalam masa 12 jam. Kenapa 12 jam? Beliau yang pakar dalam ilmu sains biologi berkata jika kita buat revision dalam masa 12 jam, apa yang kita baca itu akan masuk dalam ingatan kekal kerana kita boleh ingat 90% daripada apa yang kita belajar. Kalau lebih 24 jam hanya 30% sahaja yang kita boleh ingati.
  3. Buat latihan tambahan sendiri. Cari inisiatif dan berusaha sendiri untuk mencari sumber-sumber latihan, sama ada dari buku dan internet.
  4. Baca dahulu sebelum diajar, sebelum kelas bermula. Kita mesti ahead from the teacher. Apa yang kita tak paham nanti bolehlah ditanya pada guru yang mengajar. Salah satu punca kenapa kita segan nak bertanya pada guru adalah kerana kita tak tau apa yang nak ditanya. Selain itu, satu rahsia beliau ialah beliau akan tanya apa yang akan diajar pada kelas yang seterusnya. Malu bertanya sesat jalan.
  5. Latihan peperiksaan. Cari dari guru, dari kedai dari internet sampel-sampel kertas peperiksaan yang akan kita hadapi. Biasakan kita menjawab soalan-soalan peperiksaan, lama-lama kita akan biasa apabila bertemu dengan peperiksaan yang sebenarnya. Segala soalan dalam buku teks, buat semuanya!
ps - masa belajar yang dimaksudkan di sini mengikut tahap kemampuan anda, tidak semestinya 5 jam untuk semua orang. Bagi mereka yang jadualnya sungguh padat, untuk dapatkan 3-4 jam pun rasanya sudah cukup. Sepanjang percubaan saya, saya hanya boleh dapatkan 3 jam, kene berusaha lebih ni.

Guna Otak Kiri Dan Kanan

Kita semua ada otak kiri dan otak kanan. Otak kiri adalah khas untuk sains, matematik dan logik manakala otak kanan adalah daya kreatif, inovatif dan idealis. Rangsang otak kanan anda ketika belajar, dengan baca, tunjuk dan sebut. Ya, macam darjah satu tapi itulah yang membantu anda untuk senang menyerap ilmu itu. Selepas baca itu, buat nota ringkas sendiri untuk pastikan kita betul-betul faham tentang apa yang kita baca. Dan dari nota-nota ringkas lah anda boleh mencipta peta minda, sesuatu yang mesti ada pada setiap pelajar.


Input Dan Output

Ketika belajar kita banyak menggunakan proses input dan output. Membaca, mendengar ialah input. Membuat latihan, bercakap, membuat nota ringkas ialah output. Kebanyakan pelajar hanya memperbanyakkan proses input sahaja tetapi jika hendak berjaya perlulah melakukan kedua-dua proses itu sekali.

Baca Komik Cina

Hah? Kenape pulak ni? Pelajar-pelajar yang menghadiri ceramah tersebut mula bingung.

"Haa bila kamu semua baca komik cina kamu faham tak? Memanglah kamu tak faham, tapi kalau kamu tengok gambar-gambar komik cina tu boleh faham kan?"

Nasihat dari Encik Che Ahamad ialah : Kerapkan baca gambar rajah.
Subjek-subjek yang kita ambil pasti ada gambar rajahnya, seperti jadual, seperti piramid makanan, dan sebagainya. Kalau tiada buatlah nota anda dalam peta minda atau jadikannya sebagai gambar rajah.

Encik Che Ahamad menambah "Saya selalu baca gambar rajah ketika mengantuk nak tidur. Sebab gambarrajah itulah yang terakhir saya nampak sebelum saya terlelap. Otak saya akan memproses gambarrajah tersebut secara tidak langsung sebagai ingatan kekal."


Pindahkan Otak Ke Tangan

Hahh?? Para pelajar ternganga lagi. Nak kena pegang ke otak tu? Bukan. Lakukan praktis ini selepas kamu belajar :

Buat nota sendiri, dan salin 10x. Ya salin 10x berterusan.
Kemudian kamu cuba salin balik 10x tanpa melihat nota yang anda salin tu.

Baca 10 Kali

Inilah rahsia Encik Che Ahamad, beliau baca setiap bab itu sepuluh kali. Dia baca berulang-ulang kali sehingga ingat muka surat berapakah dan line berapakah nota yang dia cari itu.

Baca setiap bab 10x, jika semua bab kamu sudah baca 10x, akhirnya secara anda tak sedari anda dah baca buku tu 10x!

Jawab Semua Soalan Dalam Buku Teks

Semua soalan yang ada dalam buku teks tu adalah untuk membantu anda lebih memahami apa yang anda pelajari. Mengikut pengalaman saya, sebahagian soalan dalam buku teks tu memerlukan banyak informasi tambahan yang boleh dicari di internet. Jadi dengan berkat usaha kita tu, kita akan lebih memahami subjek yang kita ambil itu.

Gunakan Teknik Mengingat

Ada banyak teknik mengingat, lain orang lain tekniknya. Teknik yang digunakan oleh Encik Che Ahamad ni lain sikit. Nota-nota yang dibuatnya tu ditampal di dinding. Beliau baca dari jarak 5 kaki, dan dia baca nota tu 10x. Pastu minta tolonglah siapa-siapa, mak ke adik ke untuk cabutkan nota tu. Beliau masih lagi boleh mengingat apa yang ada pada dinding tu walaupun nota tersebut dah ditanggalkan.

Beliau juga sarankan pelajar tampal nota-nota penting di dinding, di katil, di pintu. Tempat yang selalu kita kunjungi tetapi jangan sesekali tampal di tandas kerana ilmu tu bukan tempatnya di tandas.

Faham Bukan Hafal

Anda semua kuat menghafal? Sekuat-kuat anda hafal pun apabila bertemu dengan soalan ketika di medan peperiksaan, soalan tersebut memerlukan daya kefahaman anda untuk menjawab soalan tersebut. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergelar mahasiswa. Jadi pastikan anda faham tentang semua benda dalam subjek itu, baru anda rasa seronok untuk teruskan belajar. Kalau tak faham, berusahalah untuk bertanya.

Belajar Secara Berkumpulan

Rasanya anda semua pun tahu bagaimana caranya belajar secara berkumpulan. Cuma sebahagian kita malas untuk melakukan begitu kerana rasa leceh, betul? Tetapi inilah rahsia kejayaan seorang yang pernah berjaya!

Contohnya untuk 4 orang dalam 1 kumpulan belajar, bahagikan topik-topik untuk masing-masing baca dan fahami. Kemudian, setiap orang akan mengajar kepada kumpulannya tentang topik yang diberi kepada mereka. Hikmahnya di sini, apabila anda mengajar kepada orang lain, secara tidak langsung anda akan dapat mengingati dengan lebih kuat malah menambahkan lagi kefahaman anda tentang topik tersebut.

Sentiasa Mendahului

Sebelum guru mengajar topik tersebut, kita baca dahulu. Tak faham tak mengapa. Kita sediakan nota kita sendiri awal-awal. Setiap kelas kita datang awal. Memang kadang-kadang guru tu dia tak kisah kita datang lambat, tetapi kerana hendak dapatkan berkat guru tu janganlah kita datang lewat lagi. Bila difikirkan sendiri, banyak faedahnya datang awal ke kelas.

Tumpuan 100%

Biarlah anda tak faham apa yang guru anda bebelkan di depan, tetapi telitikan juga apa yang disampaikan, pandang guru tu, dengar dengan teliti, tutup mulut kita untuk memaksimumkan pendengaran, penglihatan dan pemikiran. Jangan berputus asa untuk berfikir.

Sentiasa Mahu Menjadi Orang Yang Berjaya

Ini datang dari kita sendiri. Kekuatan azam dan keyakinan kita. Sampai manakah kita boleh pegang cita-cita kita untuk berjaya. Adakah kita hanya mahu melihat orang lain berjaya ketika kita sedang tersungkur? Setiap yang berjaya itu pernah tersungkur, lalu mereka bangkit tanpa ada rasa putus asa dalam diri mereka. Percayalah akan kemampuan anda yang mampu buat lebih dari apa yang anda ada sekarang. Janganlah anda suka mencari alasan untuk tidak berjaya.


Encik Che Ahamad mengakhiri tips beliau dengan memasang satu video klip ketika M. Nasir menasihati Mawi bagaimana caranya untuk berjaya.

"BUAT HABIS BAIK, FOKUS DAN BERI KEADILAN KEPADA APA YANG KAMU PELAJARI"

Selain itu, beliau juga berkongsi 2 amalan yang beliau sering lakukan iaitu solat sunat hajat dan istikharah. Usaha-usaha juga, tali Allah perlu kita jaga. Kalau tidak, belajar setinggi mana pun tanpa keberkatanNya, kita tak akan berjaya di akhirat juga, mungkin hanya di dunia sahaja.

Amalan solat sunat hajat yang diajarnya adalah 4 rakaat 1 salam. Bacaan selepas Al-Fatihah:

Rakaat pertama Surah Al-Ikhlas (Kulhuallahu Ahad) x10
Rakaat kedua Surah Al-Ikhlas (Kulhuallahu Ahad) x20
Rakaat ketiga Surah Al-Ikhlas (Kulhuallahu Ahad) x30
Rakaat keempat Surah Al-Ikhlas (Kulhuallahu Ahad) x40

Jumlah Surah Al-Ikhlas yang dibaca = 100. Mintalah hajat pada sujud yang terakhir. Luahkan segala-gala yang ada di dalam dada. Hayatilah doa anda itu dan titiskan air mata yang jarang berlinang itu. Anda akan berasa tenang InsyaAllah. Selepas salam, sujud kembali dan bacalah :

Tasbih "Subhanallah walhamdulillah walailahaillah wallahuakbar" x10
Selawat ke atas Nabi Muhammad saw x10
Doa "Rabbana atina fiddunya hasanah... hingga ke akhirnya" x10

Beliau mengakhiri ceramah beliau dengan 4 baris slogan :

1. TAK ADA YANG TAK TAU
2. TAK ADA YANG TAK ADA
3. TAK ADA YANG TAK BOLEH
4. JANGAN BANYAK KOMPLEN

Fikir-fikirkanlah maksud ayat-ayat itu.

InsyaAllah kita semua boleh berjaya, berusahalah dengan beristikamah. Tetapi bila sudah berjaya nanti janganlah kita memalingkan Allah yang telah memberi nikmat. =)



ps - Jika ada sebarang pertanyaan atau masalah berkenaan pembelajaran bolehlah emailkan ke email Encik Che Ahamad cadexcel@yahoo.com.my

1 comment:

  1. wah! byk yg kte leyh dpt dlm blog pak cik ni.. ^^
    thnx pak cik...

    ReplyDelete

Luahkan saja isi hatimu itu.